Friday, October 1, 2010

UMNO HILANG KUASA, BUKAN MELAYU

Dr M: Melayu hilang kuasa jika Pakatan memerintah

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini, lapor Umno-online.

Menurut Mahathir, apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri Pakatan Rakyat.

DS Muhamad Nizar: Umno bukan Melayu hilang kuasa

Menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman berhubung wawancaranya itu yang mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

mohammad nizar jamaluddin

Katanya, dakwaan Mahathir yang disiarkan di laman sesawang Umno-online, satu kenyataan bersifat perkauman.

“Umno pasti hilang kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan,” kata Nizar menerusi twitternya.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan menduduki Putrajaya adalah Umno dan bukannya orang Melayu. (Malaysiakini)

Sewaktu membaca kenyataan Tun, saya cuma tersenyum. Saya tidak berani ketawa kerana kartunis hebat - Zunar - telah ditangkap dan disiasat polis kerana membuatkan orang ketawa. Buku terbaru Zunar “Cartoon-O-Phobia” akan dilancarkan oleh Mantan MB Perak Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaluddin di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela Kuala Lumpur, jam 8.00 malam ini. Ini pun boleh memecahkan ketawa. Pelancaran buku kartunis Melayu di Dewan Perhimpunan Cina.

Ini bukan kali pertama Tun mengeluarkan kenyataan seumpama ini. Tun sebenarnya ingin mengingatkan orang-orang UMNO agar mereka tidak leka. Muhamad Nizar Jamaludin kata, kenyataan Tun rasis dan menghasut. Entahlah.

Sekiranya Tun menyebut “UMNO” tidak sedap didengar, tidak cukup perkasa. Jadi, Tun menyebut “Melayu” kerana mengertiannya lebih luas, lebih perkasa. Lagipun semangat UMNO yang dikepalai Datuk Seri Najib seperti dingin berbanding semangat Melayu-Perkasa yang dibawa oleh Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Tun sedar bahawa UMNO selama ini leka sedikit. Leka sesaat, seksa seumur hidup. Kerana lekalah UMNO-BN hampir tumbang. Sikap leka ini bermula era Tun lagi, sama ada Tun sedar atau tidak itu perkara lain. Mungkin tun sedar tetapi tidak berupaya mengatasinya. Tun pernah berkata Melayu (UMNO?) mudah lupa. Lupa dan leka tidak jauh bezanya. Kedua-duanya membawa pengertian tidak baik.

Saya bersetuju dengan Datuk Seri Muhamad Nizar. UMNO akan hilang kuasa, bukannya Melayu apabila Pakatan Rakyat berkuasa. Tidak masuk akal Melayu akan hilang kuasa kerana pemimpin PKR dan PAS pun Melayu. Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Azmin Ali, Zaid Ibrahim, Haji Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mahmuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain bukan Melayu? Mereka ini Melayu. Bagaimana kuasa Melayu akan hilang seandainya mereka berkuasa? Tidak mungkin mereka sanggup menjual bangsa sendiri. Muka yang namanya saya sebut di atas bukan muka jual bangsa.

Siapa yang berkuasa di Kelantan, Kedah dan Selangor kalau bukan Melayu. Pulau Pinang walaupun diketuai Lim Guan Eng, Melayu masih berkuasa. Kalau tidak percaya, tanyalah orang Pulau Pinang. Tetapi jangan tanya orang UMNO. Bagi orang UMNO, kuasa Melayu hilang bersama hilangnya kuasa Koh Tsu Koon.

Sekiranya Pakatan Rakyat boleh menyebabkan Melayu kehilangan kuasa, kenapakah ramai Melayu sokong Pakatan Rakyat? Melayu yang sokong Pakatan Rakyat bukan Melayu bodoh. Bahkan mereka ini Melayu yang bijak dan matang. Mereka sedar apa sebenarnya ”kuasa Melayu” yang disebut-sebutkan itu dan kenapa sesetengah orang begitu takut akan kehilangannya.

“Kuasa Melayu” ini umpama Lampu Aladdin kerana telah menyebabkan sekumpulan Melayu jadi jutawan. Namun, kuasanya ”tidak menyeluruh” kerana ramai Melayu yang hidup miskin dan merempat di bumi sendiri. Mereka senasib Pak Kadok, menang sabuh, kampung tergadai. “Kuasa Melayu” itu sama seperti “kuasa” yang menukar ayam Pak Kadok – Biring Si Kunani. Kuasa ini hanya menguntungkan segelintir Melayu. Oleh itu, tiada siapa yang akan meratap jikalau ia hilang, kecuali mereka yang telah dijutawankan oleh kuasa tersebut.

Atas kesedaran inilah Datuk Seri Najib Razak membenihkan gagasan 1Malaysia agar “kuasa Melayu” tulen akan muncul. ”Kuasa Melayu” tulen ini bakal menguntungkan semua orang tanpa batasan bangsa dan agama. Malangnya, ramai Melayu tidak mampu menangkap fikiran Najib. Mereka mencabar 1Malaysia. Mereka seperti bimbang seandainya 1Malaysia berjaya, kuasa mereka akan hilang. Monopoli mereka terhadap “kebenaran” akan lenyap.

Sebenarnya ”kuasa Melayu” lebih mantap dengan sokongan kuasa-kuasa lain. Hanya 1Malaysia mampu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

No comments: